Sakit pada belakang badan
merupakan sakit yang kerap berlaku pada setiap orang dewasa. Lazimnya,
seseorang itu akan mengalami episod kesakitan sekurang-kurangnya sekali seumur
hidup.
Namun, ramai dalam kalangan
kita mengambil ringan terhadap sakit belakang. Walaupun kebanyakan sakit
belakang tidak mengundang bahaya atau membawa maut, ia wajar mendapat perhatian
yang teliti sekiranya berterusan.
Antara penyebab sakit
belakang yang sering berlaku ialah slipped disc atau cakera tergelincir. Ia
boleh terjadi pada mana-mana kedudukan antara 33 vertebra yang membentuk tulang
belakang.
“Cakera sebenarnya
terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian luarnya yang seperti getah dan
dipanggil anulus fibrosus manakala bahagian tengah seperti gel pula dipanggil
nukleus pulposus,” ujar Pakar Ortopedik, Trauma dan Pembedahan Tulang, Pusat
Perubatan Tropicana, Dr. Joseph Yap Chong Kiat.
Cakera tergelincir
sebenarnya merujuk pada keretakan dan koyakan pada bahagian anulus. Ia
menyebabkan nukleus tertolak ke dalam keretakan atau koyakan itu lalu
menyebabkan cakera membonjol.
Kebanyakan kes cakera
tergelincir terjadi disebabkan kecederaan akibat hentakan akibat terjatuh atau
mengangkat beban yang berat. “Ia juga boleh berlaku akibat kecederaan ringan
yang berterusan yang dipanggil RSI (repetitive stress injury). “Contohnya,
duduk atau memandu dalam kereta berterusan selama berjam-jam. Dalam keadaan
sebegitu, tekanan boleh berlaku pada cakera. Ia menyebabkan ketegangan yang
seterusnya mengakibatkan anulus koyak sedikit,” terangnya.
Tambahnya, kesakitan yang
dialami boleh berlarutan sehingga beberapa jam, berhari-hari atau berlanjutan
sehingga beberapa bulan.
Sokongan tubuh
Menurut Joseph, tulang
cakera merupakan satu fibrocartilage (rawan berserat) yang berada di antara
vertebra tulang belakang. Cakera tersebut membantu memberikan sokongan kepada
badan, menolong menahan berat badan serta berfungsi untuk mengurangkan geseran
di antara vertebra.
“Apabila menyentuh soal
slipped disc, ramai yang beranggapan bahawa perkataan slipped yang digunakan
itu memberikan maksud cakera tersebut teranjak dari tempatnya. “Sebenarnya, itu
tidak berlaku kerana cakera itu sudah tetap kedudukannya pada tulang belakang.
“Apabila cakera itu
membonjol ke belakang, mungkin dalam hasil imbasan MRI (pengimejan resonans
magnetik) menunjukkan seperti bentuk yang berselisih. Mungkin kerana itu, orang
fikir cakera itu teranjak dari kedudukannya, sebenarnya ia bonjol dan bengkak.
Katanya, secara am, cakera
gelincir atau PID (Prolapsed Intervertebral Disc) lazim berlaku dalam kalangan
lelaki berbanding wanita dan berlaku ke atas orang dewasa berusia 30 hingga 50
tahun.
Mereka yang berada dalam
lingkungan umur belasan tahun atau 70 hingga 80 tahun mengalami kesakitan
bahagian belakang, kebanyakannya bukan PID.
Sungguhpun begitu, katanya,
jangan sekali-kali memandang ringan jika kanak-kanak mengalami masalah sakit
belakang kerana sesuatu yang serius mungkin berlaku.
KERATAN
rentas tulang belakang yang menunjukkan cakera yang normal (kiri) dan cakera
yang mengalami hernia (kanan).
“Masalah ini jarang dilihat
dalam kalangan golongan tua kerana bahagian nukleus seperti gel sudah menjadi
semakin kering apabila seseorang itu berusia melebihi 50 tahun.
“Ia tidak dapat menyerap
hentakan atau mengalir keluar seperti yang terjadi kepada golongan dewasa yang
lebih muda,” katanya sambil memberitahu jika sakit belakang berlaku dalam
kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas, ia mungkin disebabkan oleh
masalah lain seperti kemerosotan tulang, osteoporosis, spondilolistesis atau
barah tulang.
Berat badan
Ujar Joseph, berat badan
berlebihan juga merupakan faktor risiko yang menambahkan kemungkinan untuk
mendapat kecederaan pada cakera selain jenis pekerjaan dan kegiatan sukan
lasak.
Joseph menerangkan, jika
kesakitan yang dialami seseorang itu melebihi seminggu dan tidak hilang apabila
menjalani rawatan biasa seperti makan ubat dan berehat, seseorang itu
disarankan untuk berjumpa doktor.
“Biasanya, doktor akan
menjalankan diagnosis berdasarkan sejarah pesakit dengan mengambil kira faktor
usia, rekod kecederaan akibat terjatuh atau mengangkat benda berat. Doktor juga
perlu mengetahui bahagian yang sakit dan kebarangkalian kesakitan tersebut
berpindah ke punggung, paha atau ke kaki sepenuhnya.
“Ia memberikan gambaran
kepada doktor dan daripada situ doktor akan melakukan beberapa ujian ringkas ke
atas pesakit seperti SLR (straight leg raising),” ujarnya.
Ujian SLR dilakukan dengan
mengangkat kaki pesakit tanpa membengkokkan lutut. Jika rasa sakit seseorang
pesakit itu bertambah, ia menunjukkan berlaku tekanan pada saraf tulang
belakang.
Secara am, 90 peratus sakit
belakang boleh dirawat secara konservatif, iaitu dengan ubat dan fisioterapi
tanpa sebarang prosedur invasif yang memerlukan suntikan dan pembedahan.
Rawatan
Joseph memberitahu, doktor
sentiasa cuba untuk memberikan ubat dan rawatan fisioterapi terlebih dahulu
bagi melegakan kesakitan yang dialami pesakit. Pada masa yang sama memantau
perkembangan mereka.
PERBEZAAN
cakera normal dengan cakera yang mengalami bonjolan dan bengkak yang seterusnya
menekan pada saraf mengakibatkan kesakitan.
“Jika kesakitan berlarutan
melebihi enam minggu walaupun diberikan rawatan, maka prosedur invasif
dilakukan. Namun, kadang kala rawatan invasif perlu lebih awal sekiranya
kesakitan keterlaluan.
“Walaupun kita sudah
mengeluarkan bonjolan cakera yang menekan saraf, cakera tersebut tidak seperti
cakera normal dan dianggap sedikit lemah berbanding disc yang lain,” jelasnya
sambil memberitahu senaman boleh mengelakkan cakera tergelincir daripada
berlaku kerana berat badan ditampung oleh otot dan tulang.
Senaman yang betul boleh
membuatkan otot belakang menjadi kuat dan mereka yang selalu bersenam kurang
mengalami masalah tersebut.
Walau apapun, Joseph
menasihatkan orang ramai yang mengalami sakit belakang yang berterusan agar
merujuk kepada doktor.
“Kita pasti tidak mahu
terlepas pandang sesuatu yang mungkin berbahaya seperti jangkitan kuman pada
tulang belakang, barah tulang atau sakit buah pinggang.
“Bukan semua sakit belakang
disebabkan masalah pada tulang. Kita perlu tahu puncanya lebih-lebih lagi
apabila berlaku simptom-simptom sistemik seperti penurunan berat badan, kurang
selera makan, sentiasa letih dan demam.
Sumber : Berita
Sumber : Berita
0 Ulasan