Isnin, 15 April 2013

CPR - Cara Menyelamatkan Nyawa

Hari ni aku nk berkongsi tips yg aku rasa sangat penting untuk diketahui ( at least.. ) walaupun kadang kadang perkara ni kalau tau pun, kita takut nak buat.. apakah ia?? Rajin-rajinkanlah membaca di bawah ya..

SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak kes mengenai kematian bayi dan kanak-kanak akibat lemas tersedak susu, sesak nafas dan sebagainya.
Kejadian malang ini sebenarnya mampu dielak jika setiap ahli masyarakat mengetahui sekurang-kurangnya langkah asas pertolongan cemas.
Ketika berdepan dengan situasi ini, sememangnya langkah pertama yang patut dilakukan adalah dengan menghubungi pihak bantuan perubatan.
Namun sementara menunggu bantuan, bagi mereka yang mempunyai pengetahuan asas mengenai pertolongan cemas mungkin boleh memulakan bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR).


CPR ialah satu teknik untuk menyelamatkan nyawa yang digunakan ketika kecemasan apabila mangsa tidak bernafas dan nadi mangsa sudah tidak berdenyut.
Doktor Perubatan Kumpulan Klinik Medijaya, Dr. Chan Jian-Chyi berkata, perkara ini harus dititikberatkan oleh masyarakat supaya bertindak dengan cepat sekiranya berlaku situasi kecemasan.
“Bantuan CPR merupakan kombinasi bantuan pernafasan dan penekanan dada di bahagian luar dengan memberi nafas untuk mangsa dalam memastikan darah mangsa dan oksigen masih lagi dibekalkan ke seluruh tubuh terutamanya bahagian otak.
“Penyelamat boleh membantu mangsa untuk terus hidup sehingga bantuan perubatan tiba. Jika CPR tidak dilaksanakan, peluang mangsa untuk terus hidup akan menurun dengan banyaknya selepas lima minit pertama.
“Masyarakat harus mempelajari dan mengetahui cara-cara untuk memberi bantuan CPR ini. Jika tiada ilmu tentang perkara ini amatlah dikesali jika bantuan diperlukan kelak.
“Pengetahuan mengenai CPR amat penting kerana keadaan kecemasan ini boleh berlaku pada sesiapa, bila-bila masa dan di mana saja.
“Itulah sebabnya kita perlu sentiasa bersedia dan setiap keluarga seharusnya tahu melakukan CPR.
“Terdapat dua langkah bantuan CPR untuk dewasa dan kanak-kanak boleh dilaksanakan. Cuma terdapat sedikit sahaja perbezaan di antaranya,” jelasnya ketika ditemui di Klinik Medijaya, Centro Klang.
Menurutnya, kaedah bantuan CPR akan berlaku perubahan dan akan dikaji semula dari semasa ke semasa dan orang ramai perlu memastikan ilmu CPR tersebut dilakukan mengikut cara yang terbaru.
“CPR merangkumi tiga kemahiran penyelamat asas ataupun disebutkan ABC, saluran pernafasan (airway), pernafasan (breathing) dan edaran darah (circulation).
“Mengenai bantuan CPR pada bayi yang berumur kurang satu tahun, perkara pertama jangan panik dan anda perlu bertenang.
“Seterusnya hubungi atau meminta bantuan secepat mungkin, kemudian cuba untuk mendapatkan mangsa supaya bertindak balas seperti menggerakkan tubuhnya dan sentuh denyutan nadi, jika tiada, baringkan mangsa
“Selepas itu, mulakan tekanan pada dada. Untuk bayi gunakan dua jari sahaja untuk menekan dadanya sekurang-kurangnya 1.5 inci pada bayi dengan 30 tekanan,” ujarnya.
Setelah itu, tambah Dr.Chan, bantuan CPR diteruskan dengan memberi hembusan nafas kepada mangsa dengan melakukan pernafasan mulut ke mulut, pastikan mulut penyelamat menutupi mulut dan hidung bayi sepenuhnya apabila memberi hembusan nafas.
Akhir sekali, ulangi dengan dua hembusan nafas dan 30 tekanan sehingga bantuan perubatan tiba.
Walau bagaimanapun, Dr.Chan menasihatkan supaya melakukannya dengan berhati-hati supaya komplikasi lain tidak berlaku. – UM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan